Sejarah Tarian Pelanduk : Dijemput Buat Persembahan Sempena Hari Terbuka PPD Kinta Utara | Cerita mengenai sekolah anak Marina dijemput untuk buat persembahan Tarian Pelanduk ni dah lama dah sebenarnya. Sekolah anak Marina dijemput membuat persembahan sempena Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara yang diadakan di Aeon Klebang, Ipoh pada 14 Oktober 2023 yang lalu. Marina baru berkesempatan nak share mengenai tarian pelanduk ni di sini. Miza buat pertama kalinya dipilih untuk menari oleh cikgu sekolah untuk mewakili sekolah. Korang pernah dengar dan tahu tak tentang sejarah tarian pelanduk ni?
Hari Terbuka PPD ini diadakan selama 2 hari. 2 hari berturut-turut Marina berkampung di Aeon Klebang sebab 14 Oktober tu Miza terlibat dengan tarian, manakala 15 Oktober pula terlibat dengan persembahan silat. Pelbagai aktiviti yang dianjurkan semasa hari terbuka ini, antaranya pameran, pertandingan dikir barat, pertandingan tarian singa, pertandingan melukis komik dan pelbagai lagi.
Marina baru tahu wujudnya Tarian Pelanduk ini semasa bawa anak-anak ke pertandingan mewarna. Pada hari yang sama juga diadakan pertandingan menari. Pada masa tu, anak Marina belum lagi menyertai kumpulan tarian sekolah. Pelajar-pelajar sekolah anak Marina mengenakan pakaian seakan-akan pelanduk. Marina pada ketika itu tidak tahu ianya merupakan tarian pelanduk sehinggalah diberitahu oleh anak Marina.
Apabila anak sendiri menyertai kumpulan tarian dan dipilih untuk menari tarian pelanduk, Marina mencari informasi mengenai tarian pelanduk dan kongsikan sejarah di sebalik tarian ini untuk pengetahuan korang.
Asal-Usul Tarian Pelanduk
Dikatakan Tarian Pelanduk ini berasal dari Kampung Bukit Betong, Kuala Lipis, Pahang. Tarian ini telah lama wujud iaitu sejak zaman pemerintahan Jepun lagi. Tarian ini biasanya dipersembahkan untuk majlis-majlis tertentu.
Tarian Pelanduk ini diadaptasi daripada pergerakan pelanduk yang seolah-olah menari semasa pemburu datang berburu menggunakan daun terap kering.
Sejarah Tarian Pelanduk
Menurut cerita orang dulu, Tarian Pelanduk ini dicipta adalah berdasarkan kepada cara bagaimana orang kampung memburu pelanduk di dalam hutan. Ia menceritakan bagaimana pemburu pergi memburu pelanduk di hutan tanpa menggunakan sebarang senjata dan hanya berbekalkan daun terap kering sahaja.
Daun terap kering ini diketuk-ketuk menggunakan ranting kayu bagi menghasilkan bunyi yang akan menarik minat pelanduk. Mengetuk daun terap ini memerlukan teknik yang betul. Jika bunyi yang diketuk berbeza boleh menarik minat haiwan yang lain.
Apabila pelanduk mendengar bunyi ketukan daun terap kering ini, pelanduk terpesona mendengar alunan muzik daripada daun terap kering ini dan leka bergerak-gerak seakan-akan seperti menari. Apabila pelanduk sedang leka menari-nari, pada ketika itulah pemburu akan menangkap pelanduk.
Persembahan Tarian Pelanduk
Pada hari Miza buat persembahan Tarian Pelanduk di Aeon Klebang, pada masa yang sama di sekolah ada program kem solat bestari. Disebabkan Miza terlibat dalam persembahan, Marissa dan Miqaila je yang pergi kem ni. So pagi tu, Marina hantar diorang semua ke sekolah.
Cikgu minta semua pelajar yang terlibat untuk persembahan Tarian Pelanduk, datang ke sekolah terlebih dahulu untuk membuat latihan terakhir sebelum persembahan dan bersiap di sekolah sebelum ke Aeon Klebang.
Kalau ikut tentatif, persembahan dijadualkan pada pukul 10.00 pagi. Setelah jam pukul 10.00 pagi, masih belum mula. Marina tanya cikgu, rupanya dijadualkan semula pada pukul 2.00 petang. Ingatkan sempatlah nak ambil Miza balik dari persembahan dan terus ambil 2 ketul tu di sekolah. Rupanya tak sempat. Makanya Marina mintak husband ambik 2 ketul tu di sekolah dan bawa diorang tengok Miza buat persembahan.
Tarian Pelanduk yang dipersembahkan tidak mengikut rutin asal tarian pelanduk tersebut. Rutin tarian diolah sedikit mengikut kreativiti cikgu sekolah. Walau bagaimanapun, rutin yang diolah masih mempunyai ciri-ciri Tarian Pelanduk.
Rutin Tarian Pelanduk nampak mudah kan? Tapi para pelajar mengambil masa beberapa minggu jugak untuk menghafal rutin tarian.
Pakaian Tarian Pelanduk
Sentuhan terakhir sebelum persembahan, Miza siap mengenakan pakaian berserta aksesori dan make up untuk menari Tarian Pelanduk di Aeon Klebang. Cikgu-cikgu bertungkus-lumus membantu menyiapkan para pelajar untuk bersiap terutamanya make up dan juga memakai aksesori di kepala yang merupakan kepala pelanduk. Make up yang dikenakan pun seakan-akan mirip pelanduk.
Daripada Tak Tahu Jadi Tahu
Orang kata kalau sesuatu perkara tu tak melibatkan kita, kita tak tahu dan tak berminat nak ambil tahu kan? Samalah jugak dengan Marina. Kalau anak tak masuk apa-apa aktiviti yang dianjurkan di sekolah, Marina pun tak tahu pun wujudnya Tarian Pelanduk dan sejarah di sebalik tarian ini.
Anak-anak Marina pun dapat ilmu yang baru apabila melibatkan aktiviti di luar bilik darjah. Aktiviti seumpama ini merupakan pengalaman yang sangat berharga bukan sahaja kepada anak-anak, bahkan buat Marina juga.
Marina ada share video Tarian Pelandukdi YT : youtube.com/c/marinabashah
0 Comments