Terhibur Menyaksikan Drumline Battle di Ipoh Parade

Terhibur Menyaksikan Drumline Battle di Ipoh Parade | Ahad baru-baru ni 14 Julai 2024, Marina bawa anak-anak ke Ipoh Parade untuk tengok Drumline Battle di antara sekolah-sekolah di seluruh negeri Perak. Tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata betapa terujanya semasa berada di sini. Pertandingan ini dianjurkan oleh Ipoh Parade dan berkolaborasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perak. Drumline battle ini dianjurkan adalah bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman untuk menonjolkan bakat, minat dan kreativiti mereka dalam muzik.

Penglibatan pelajar dalam aktiviti seni dan muzik secara langsungnya dapat membangunkan modal insan untuk menjadi individu yang berilmu yakin, bermoral tinggi, beretika, berbudi bahasa, berdisiplin, dinamisme, inovasi, kreativiti, kesihatan, semangat patriotik, progresif dan daya saing.

Drumline Battle


Tetamu Jemputan ke Drumline Battle

Tak lengkaplah sekiranya sesuatu pertandingan yang dianjurkan tanpa kehadiran tetamu jemputankan? Tetamu jemputan yang telah dijemput bagi memeriahkan lagi pertandingan drumline ini adalah Dr Nor Haslan bin Nor Zaman yang merupakan Ketua Unit, Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum), JPN Perak dan juga En. Wan Muhamad Huzairi bin Shukri yang merupakan Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum), JPN Perak.

Manakala panel-panel hakim yang dijemput untuk bersama-sama menjayakan Drumline Battle ini adalah Zahrein Mustaffa (ZmuzikZ), Boojae Fadzil (Funky Fresh By Floor Fever) dan Jimmy Wong (Persatuan Kesenian Pancaragam Malaysia (MAMA). Mereka ini mempunyai latar belakang dan pengalaman yang meluas di dalam bidang masing-masing.

Jabatan Pendidikan Negeri Perak
Ketua Unit, Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum) JPN Perak

Ipoh Parade
Para juri


Kriteria Penilaian Persembahan Drumline

Beberapa kriteria yang diambilkira bagi mengadili pertempuran drumline ini. Kriteria-kriteria yang diambilkira untuk menentukan pemenang pasukan Drumline :


Muzik

● Repertoir Muzik : Kepelbagaian, kerumitan dan kesesuaian karya muzik yang dipilih
● Persembahan Muzik : Ketepatan, teknik dan ekspresi persembahan


Visual 

● Repertoir Visual : Kepelbagaian, kerumitan dan keberkesanan reka bentuk visual
● Persembahan Visual : Ketepatan, penyelarasan dan kesan keseluruhan persembahan visual


Kesan Umum 

● Reka Bentuk : Kesepaduan dan kreativiti keseluruhan reka bantuk persembahan
● Prestasi : Penglibatan emosi, tenaga dan keberkesanan keseluruhan prestasi


Peserta Drumline 

Dua kategori dipertandingkan untuk Pertandingan Drumline Battle ini iaitu kategori sekolah menengah dan kategori sekolah rendah. Sebanyak 8 pasukan daripada sekolah menengah dan 2 pasukan daripada sekolah rendah yang menyertai pertandingan ini. Berikut adalah merupakan sekolah-sekolah yang mengambil bahagian di dalam pertandingan ini.


Kategori sekolah Menengah

● Kolej Melayu Kuala Kangsar - Dark Knights (Peserta : 11 orang)
● SMK Menglembu - Avengers Drumline (Perserta 10 orang)
● SMK St Michael - MMB Drumline (Peserta 11 orang)
● SMK St Anthony - Anthonian Band (Peserta 10 orang)
● SMK Raja Permaisuri Bainun - OMB Corp (Peserta 11 orang)
● SMK Sultan Yussuf - SYS Cadet Band (Peserta 9 orang)
● SMJK Sam Tet - Pasukan A (Tofu Drumline) (Peserta 12 orang)
● SMJK Sam Tet - Pasukan B (Cannon Drum) (Peserta 9 orang)


Kategori Sekolah Rendah

● SK St Anthony - Anthonian Band (Peserta 8 orang)
● SK Sri Adika Raja - AMB Drumline (Peserta 9 orang)

Kolej Melayu Kuala Kangsar
Dark Knights dari MCKK


Anak Menang Tiket Pertunjukan Drumline Antarabangsa Semasa Pertempuran Drumline Berlangsung

Pertandingan dimulakan dengan sesi bergambar dengan semua peserta. Setelah habis sesi bergambar, pengacara memberi taklimat bagaimana pertandingan Drumline Battle akan berlangsung. 

Drumline Battle mempunyai 2 pusingan seperti yang Marina dah kongsikan pada entri sebelum ini iaitu untuk pusingan pertama setiap pasukan akan membuat persembahan kumpulan mereka, manakala bagi pusingan kedua pula pasukan akan bertempur di antara sekolah. Pemilihan pasukan untuk pusingan kedua dipilih secara undian.  

Pertandingan dimulakan dengan pusingan pertama iaitu persembahan drumline daripada sekolah rendah. Sekolah Sri Adika Raja tampil sebagai pasukan pertama bagi memulakan pusingan pertama. Sejurus persembahan daripada sekolah rendah tamat, tiba giliran daripada sekolah menengah pula. Pasukan pertama yang memulakan persembahan adalah MMB Drumline dari SMK St Michael dan diakhiri oleh Dark Knights dari Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Sebelum pusingan kedua dijalankan, pengacara mengadakan kuiz kepada penonton yang hadir. Hadiahnya adalah merupakan tiket masuk Grand Stand untuk menonton Malaysia International Marching Arts Championships 2024 (MIMAC) yang akan diadakan di Stadium Perak pada 8 Ogos 2024 sehingga 10 Ogos 2024. Anak Marina dengan beraninya ke hadapan untuk menjawab soalan. Walaupun jawapan salah, tetapi pengacara tu cakap sebab comel, diorang bagi juga 2 tiket masuk ke MIMAC.   

Seterusnya, pusingan kedua iaitu pertempuran antara pasukan dimulakan. Pusingan kedua dimulakan dengan pertempuran antara sekolah menengah. Disusuli pertempuran antara sekolah rendah. Pertandingan Drumline ini adalah menggunakan sistem pertandingan kalah mati. Pasukan pemenang akan bertanding dengan pasukan pemenang dari kumpulan lain bagi menentukan juara. 


Drumline Battle
Drumline Battle


Pemilihan Pemenang Sengit 

Jujur Marina cakap, awalnya Marina yakin MMB Drumline dari SMK St Michael akan memenangi pertandingan ini bagi kategori sekolah menengah sebab persembahan yang ditonjolkan begitu bersemangat dan bertenaga. Pemilihan muzik yang dimainkan sangat menghiburkan hati. Tetapi penentuan juara bukan sahaja dinilai untuk satu pusingan sahaja. Ianya dinilai untuk kedua-dua pusingan di mana, jumlah pemarkahan daripada pusingan pertama dan pusingan kedua diambilkira untuk menentukan juara keseluruhan. Sistem permakahan untuk pusingan pertama dinilai oleh pihak juri manakala pusingan kedua adalah ditentukan berdasarkan pemerhatian daripada juri dan juga sorakan daripada penonton. Betullah sangkaan Marina MMB Drumline dari SMK St Michael menjadi juara di pertandingan Drumline ini.

St Michael
MMB Drumline dari SMK St Michael

Pemenang kedua tak kurang hebatnya juga iaitu Tofu Drumline dari SMJK Sam Tet. Di sinilah keyakinan Marina tergugat sedikit apabila Tofu menunjukkan peningkatan prestasi semasa pusingan kedua. Tambahan pula, Tofu Drumline telah memenangi anugerah khas iaitu Drumline paling popular dan kostum paling kreatif.

Pemenang ketiga dimenangi oleh Avengers Drumline dari SMK Menglembu, pemenang keempat dimenangi oleh Dark Knights dari Kolej Melayu Kuala Kangsar dan pemenang kelima dimenangi oleh OMB Corp dari SMK Raja Permaisuri Bainun.

Sam Tet
Tofu Drumline dari SMJK Sam Tet

Bagi kategori sekolah rendah pula, Anthonian Band dari SK St Anthony menjadi johan di pertandingan Drumline. Manakala AMB Drumline dari SK Sri Adika Raja berada di tempat kedua.

Ipoh

Anak-anak dan Marina terhibur dan seronok sepanjang Drumline Battle ini berlangsung. Dari awal pertandingan sehingga ke akhir kiteorang jadi penonton setia di pertandingan ini. Marina kagum dengan semangat dan komitmen yang diberikan oleh peserta yang terlibat semasa pertandingan Drumline ini berlangsung. Mereka sanggup datang dari jauh, ada yang 2 jam perjalanan untuk bersama-sama menjayakan program ini. Semoga pihak pengurusan dari Ipoh Parade dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Perak dapat meneruskan program seumpama ini di masa akan datang.


Post a Comment

0 Comments