Tempat Menarik di Tanjung Piai: Titik Paling Selatan Benua Asia | Cuba bayangkan diri korang berada di hujung dunia, bukan di kutub utara atau selatan, tapi di satu titik yang tersorok, penuh misteri dan keindahan yang tak ramai tahu. Macam tulah umpamanya apabila korang berada di Tanjung Piai. Tak semua orang luar tahu tempat Taman Negara Tanjung Piai ni. Dari mata kasar, ia nampak seperti kawasan kampung yang biasa, tapi apabila korang ke Taman Negara Tanjung Piai ni, ibarat masuk ke dalam galeri sejarah dan korang boleh menikmati keindahan semula jadi yang tersembunyi.
Tanjung Piai adalah merupakan titik paling selatan di Asia. Setiap langkah di sini, korang bukan je jejak di bumi Malaysia, malahan secara simboliknya korang berdiri di atas tanah paling selatan benua Asia! Di setiap sudut, ada cerita. Cerita tentang alam, sejarah dan budaya. Jadi kalau korang tak pernah ke Tanjung Piai, inilah masanya untuk korang pergi discover permata yang tersembunyi ni!
Tanjung Piai: Hujung Selatan Benua Asia
Tanjung Piai terletak di daerah Pontian, Johor dan terkenal sebagai titik paling selatan di benua Asia, menjadikannya lokasi yang unik dan penuh daya tarikan. Hanya sekitar satu jam pemanduan dari Johor Bahru, perjalanan ke sini melalui kawasan kampung, jauh daripada kesibukan bandar.
Taman Negara Tanjung Piai (Johor) ditubuhkan pada tahun 1997 untuk melindungi tapak unik, terutamanya paya bakau dan kawasan berlumpur yang membentuk komponen penting dalam ekosistem. Pada tahun 2003, Konvensyen Ramsar mengiktiraf Taman Negara Tanjung Piai sebagai Tapak Ramsar, atau Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa.
Sebaik jejak kaki di Tanjung Piai, Marina rasa macam dah sampai ke “hujung dunia”! Teruja berada di sini merasai pengalaman unik, berdiri di penghujung Asia, tak sama macam tempat lain. Tenang je suasana di sini dengan pemandangan Laut China Selatan yang terbentang luas.
Apa yang paling menarik dan ikonik di sini adalah mercu tanda yang menandakan hujung sebenar Asia Selatan! Tak hairanlah ramai datang semata-mata nak bergambar kat sini termasuklah Marina. Ini adalah sebagai bukti yang kiteorang dah sampai ke “ujung dunia.”
Sebelum masuk ke kawasan Taman Negara, Marina sempat bergambar di depan tugu peta Tanjung Piai. Ramai juga pengunjung lain datang ke sini semasa kiteorang sampai.
Harga Tiket Masuk Taman Negara Tanjung Piai
Harga tiket masuk ke Taman Negara Tanjung Piai ni agak berpatutan dan sesuai untuk semua. Untuk warganegara Malaysia, tiket dewasa berharga sekitar RM5, manakala kanak-kanak dikenakan RM3 sahaja. Kalau bukan warganegara, harganya sedikit tinggi, dewasa sekitar RM20 dan kanak-kanak RM10.
Berjalan di Tengah-Tengah Hutan Bakau
Selain keunikannya sebagai titik paling selatan Asia, apa yang buat Taman Negara Tanjung Piai ni betul-betul istimewa pada Marina adalah ekosistem bakau dia yang jarang ditemui di tempat lain. Misi kiteorang adalah berjalan sampai ke penghujung mercu tanda! Perjalanan ni bukan sekejap ye, mengambil masa lebih kurang sejam setengah nak sampai ke penghujung! Bila dah nak hampir-hampir sampai di mercu tanda tu, agak thrill sedikit sebab pada masa tu air laut tengah pasang, paras air laut dah naik sedikit di atas jambatan. Agak merisaukan jugaklah tapi kiteorang redah je demi sekeping dua gambar di mercu tanda.
Selepas kiteorang dah bergambar di situ, kiteorang terus berpatah balik ke tempat permulaannya. Dalam perjalanan nak balik, kiteorang terjumpa menara pandang jauh. Walaupun pada awalnya, anak-anak dah mula merungut penat, nampak je menara tersebut terus hilang penatnya.
Kalau bernasib baik, korang mungkin akan dapat tengok beberapa spesis burung migrasi yang singgah di sini dalam perjalanan mereka. Selain burung, Tanjung Piai juga menjadi tempat perlindungan kepada pelbagai haiwan lain seperti ketam, ikan dan udang yang hidup di kawasan bakau. Masa Marina berjalan tu, ternampak ikan belacak tengah rileks kat akar pokok bakau.
Ikan belacak |
Jeti 3 Kerajaan di Tanjung Piai
Korang wajib singgah ke Jeti 3 Kerajaan kalau korang ke Taman Negara Tanjung Piai sebab korang dapat tengok 3 buah negara dari sini! Nama “Jeti 3 Kerajaan” diberi sebab lokasi jeti ni betul-betul di persimpangan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura. Berdiri kat satu titik, korang boleh nampak dari jauh ketiga-tiga negara ni dari satu pandangan.
Ekopelancongan dan Kelestarian
Di Taman Negara Tanjung Piai ini korang boleh mempelajari tentang kepentingan ekosistem bakau melalui pusat maklumat yang disediakan. Setiap papan maklumat dan pameran interaktif yang menceritakan tentang cara bakau berfungsi sebagai “penjaga” alam sekitar, melindungi pantai daripada hakisan, menyediakan habitat bagi hidupan liar dan menyaring air laut daripada pencemaran.
Bagi korang yang gemar menjelajah tempat-tempat alam semula jadi dan nak nikmati keindahan semula jadi, Taman Negara Tanjung Piai ni memang destinasi yang wajib korang kunjungi!
0 Comments