Tarif Air Selangor Naik, Tapi Masalah Air Masih Sama?

Tarif Air Selangor Naik, Tapi Masalah Air Masih Sama? | Kalau sebut pasal air di Selangor, sudah semestinya akan dikaitkan dengan masalah seperti paip bocor, catuan, air keruh dan gangguan yang tidak dijangka. Tiba-tiba, bila buka paip, air tak ada. Ini dah menjadi perkara biasa bagi penduduk di Selangor. Baru-baru ini, kita dikejutkan pula dengan berita kenaikan tarif air yang akan berkuatkuasa tak lama lagi. Isu ini menjadi bualan ramai sebab air adalah keperluan asas dan bila tarif naik, pasti ada kesannya kepada kehidupan seharian. Semenjak tukar pengurusan baru dari SYABAS, tukar pula ke Pengurusan Air Selangor bermula pada Julai 2024 yang lalu, sehingga sekarang masih tak nampak apa-apa perubahan. Persoalannya adakah dengan kadar baru ini, masalah air akan berkurang atau rakyat bayar lebih tapi tetap kena hadap gangguan yang sama?




Masalah Air Selangor: Isu Lapuk yang Tak Pernah Selesai

Boleh dikatakan penduduk Selangor dah lali dengan gangguan bekalan air. Rasa macam setiap tahun mesti ada beberapa kali catuan air atau loji terpaksa ditutup sebab pencemaran sungai. Antara punca utama adalah pencemaran yang berpunca daripada industri haram, pembuangan sisa tanpa kawalan dan kelemahan sistem pemantauan. Bila loji rawatan terpaksa dihentikan, rakyat yang jadi mangsa, menunggu air tangki atau terpaksa angkut air dari tempat lain.

Pada 23 Julai ni pula dimaklumkan oleh pihak Air Selangor tujuh kawasan di Lembah Kelang iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan air tidak berjadual sebab pencemaran bau dikesan di Sungai Kundang dan Sungai Sembah. Empat loji rawatan air terpaksa dihentikan tugas untuk sementara. 


Kenapa Tarif Naik?

Peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan infrastruktur air menyebabkan kenaikan tarif air. Menurut pihak berkuasa, tarif air di Selangor sebelum ini agak rendah berbanding negeri lain, jadi kenaikan ini dianggap perlu untuk memastikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna.

Walaupun kenaikan tarif ini lebih ketara untuk kategori pengguna komersial dan industri, kita sebagai pengguna domestik tetap akan terasa kesannya. Bayangkan selama ini bil air bulanan dalam RM10-RM20 sahaja, tapi selepas ini mungkin naik sedikit bergantung kepada penggunaan. Kenaikan ini mungkin nampak kecil, tapi bagi keluarga besar atau mereka yang mempunyai penggunaan air tinggi, kesannya tetap ada.

Kenaikan Tarif Air untuk Pengguna Domestik (50 m³ sebulan)
• 2023: RM56.86
• 2024: RM68.25 (Naik 20.03%)
• 2025 (dirancang): RM87.63 (Naik lagi 28.40%)
Jumlah kenaikan 2023 - 2025: 54.12%

Bil air tahunan isi rumah meningkat daripada RM682.32 (2023) kepada RM1,051.56 (2025 dirancang) - kenaikan sebanyak RM369.
Kenaikan Tarif Air untuk Pengguna Bukan Domestik/perniagaan (100 m³ sebulan)
• 2023: RM220.65
• 2024: RM277.60 (Naik 25.81%)
• 2025 (dirancang) : RM361.15 (Naik lagi 30.10%)
Jumlah kenaikan 2023 - 2025: 63.68%


Bagaimana Kenaikan Ini Mempengaruhi Pengguna?

Secara kasarnya, kenaikan tarif ini tidak begitu membebankan pengguna domestik biasa. Jika penggunaan air di bawah 20 meter padu, kenaikannya hanya sekitar RM1.60 sebulan. Namun, bagi isi rumah dengan penggunaan air yang lebih tinggi, perbezaannya mungkin lebih ketara.

Golongan berpendapatan rendah masih boleh memanfaatkan Skim Air Darul Ehsan, yang menawarkan 20 meter padu air percuma. Namun, bagi golongan M40 dan T20, kenaikan ini adalah satu lagi kos tambahan dalam kehidupan seharian yang sudah pun semakin mencabar.

Selain itu, sektor perniagaan seperti restoran, kedai dobi dan kilang juga akan terkesan dengan kadar tarif baru ini. Berkemungkinan, kos tambahan ini akan diterjemahkan ke dalam harga barangan dan perkhidmatan yang akhirnya tetap akan memberi kesan kepada pengguna.


Apa Jaminan untuk Rakyat? : Harapan Rakyat Selangor

Sebagai pengguna, kita memahami bahawa kos penyelenggaraan dan operasi semakin meningkat. Namun, dalam masa yang sama, kita juga mengharapkan peningkatan dalam perkhidmatan. Jika rakyat perlu membayar lebih, seharusnya ada jaminan bahawa:

• Gangguan bekalan air dapat dikurangkan secara drastik
• Penyelenggaraan dibuat lebih cekap dengan tempoh pemulihan yang lebih cepat
• Kualiti air sentiasa berada pada tahap terbaik tanpa isu air keruh selepas gangguan
• Komunikasi yang lebih efektif supaya pengguna tidak terkejut dengan gangguan mendadak

Jika kenaikan tarif ini benar-benar membawa kepada penambahbaikan, mungkin rakyat boleh menerimanya dengan lebih terbuka. Tetapi jika selepas ini gangguan air masih kerap berlaku, pasti banyak persoalan akan timbul mengenai ke mana perginya hasil kenaikan tarif ini.


Bayar Lebih, Servis Lebih Baik?

Kenaikan tarif air bukanlah sesuatu yang boleh dielakkan jika kita mahu sistem bekalan air yang lebih stabil dan berkualiti. Namun, ia harus diiringi dengan penambahbaikan yang jelas dan ketara.

Penduduk Selangor sudah lama bersabar dengan isu gangguan air yang berlaku setiap tahun. Kini, dengan kadar tarif yang lebih tinggi, tibalah masanya untuk pihak berwajib membuktikan bahawa mereka benar-benar komited dalam meningkatkan perkhidmatan. Jika tidak, kenaikan ini hanya akan dilihat sebagai satu lagi beban kepada rakyat tanpa manfaat yang jelas.




Post a Comment

0 Comments